Nuffnang

Thursday, October 29, 2009

Loque tampil dengan Monoloque

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my


BERMONOLOG bersama pengembangan idea dan ilham hasil letusan muzik Melayu antara agenda Loque dalam kembara muziknya. 


SELAKU gitaris utama Butterfingers, Loque antara tonggak penting dalam kumpulan yang ditubuhkan di Kuala Lumpur pada pertengahan tahun 1990-an itu termasuklah dalam soal menyusun serta menggubah lagu.

Justeru, apabila ada kalangan anggota Butterfingers mengambil keputusan untuk 'berehat' seketika daripada bidang muzik, anak muda ini seakan-akan tidak boleh duduk diam bagi meneruskan kesinambungannya kariernya itu.

Apatah lagi sekembalinya Loque dari Amerika Syarikat selepas menamatkan pengajiannya dalam bidang muzik di Berkeley Kolej di Boston selama empat tahun, dia berasakan sekarang adalah masa paling sesuai bagi mempraktikkan ilmu yang telah dipelajarinya itu.

"Saya mahu mengembangkan lagi industri muzik di Malaysia dengan cara mengangkat lagu-lagu tradisional Melayu seperti gamelan dalam skop, penghayatan serta komposisi yang lebih segar untuk generasi pada masa kini dan akan datang.



muzik tradisi mesti dipelihara

"Bagi saya, muzik-muzik tradisi kita yang lama mestilah dipelihara, tetapi pada masa sama kita juga harus memperkembangkan muzik sedia ada bagi memenuhi permintaan dan perkembangan semasa," katanya kepada Hits sewaktu dihubungi baru-baru ini.

Menurut Loque atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Annwar, bagi merealisasikan agendanya dalam membawa anjakan paradigma menerusi konsep muzik yang diilhamkannya itu, maka tertubuhlah Monoloque.

Kata pemain gitar berusia 31 tahun ini, menerusi kumpulan barunya itu, dia akan bergerak secara sendirian dalam proses rakaman album solo pertamanya, tetapi pada masa sama turut dibantu oleh beberapa pemuzik undangan.

Jejak Tanah - Cucuk Langit merupakan judul album solo pertama Monoloque yang bakal memuatkan 10 buah lagu hasil sentuhan tangan dan gaparan minda menerusi lirik-lirik lagu ciptaannya sendiri yang sudah lama berakar umbi dalam jiwanya.

"Sebenarnya, konsep album solo pertama saya ini boleh dikatakan sebagai suatu kesinambungan daripada album Butterfingers yang terdahulu bertajuk Kembali. Idea ini sudah lama saya fikirkan dan sebagai permulaan pada ketika itu saya tampilkannya dalam album Butterfingers terlebih dahulu.

"Melalui album pertama Monoloque, saya akan teruskan lagi konsep muzik itu secara lebih meluas. Saya cuba bereksperimentasi dengan pelbagai konsep muzik tradisional Melayu yang diolah semula dalam susunan lagu yang lebih moden," ujarnya.

Pemegang ijazah dalam bidang Komposisi dan Sintesis Muzik ini menjelaskan, beliau belum menetapkan suatu nama atau istilah yang tetap untuk genre muzik hasil cetusan ideanya itu.

Namun, tambah Loque, konsep muzik yang diimprovisasi daripada susur galur irama-irama tradisional Melayu itu bukanlah suatu senario baru dalam persada muzik walau di mana-mana juga di seluruh dunia.

menerapkan elemen muzik kaum-kaum lain

"Sekarang ini, ramai pemuzik di luar negara yang mencuba kaedah ini iaitu dengan cara memperkembangkan lagi nilai-nilai muzik tempatan di tempat masing-masing dalam skop yang lebih luas. Selain irama Melayu, saya juga cuba menerapkan elemen muzik kaum-kaum lain yang ada di Malaysia seperti Cina dan India.

"Mana tahu konsep muzik yang akan saya perkembangkan ini dapat memenuhi aspirasi dan slogan ke arah melahirkan genre muzik 1Malaysia seperti yang dilaungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak," katanya penuh optimis.

Buat masa ini kata Loque, dia sedang mengumpul lagu dan merangka gaya bunyi yang akan dihasilkan menerusi album pertama Monoloque yang mungkin menelan kos penerbitan daripada RM1,000 hingga RM50,000.

Sebagai kumpulan yang berkonsepkan 'one man band', Monoloque katanya, turut mencabar kreativiti serta bakatnya sebagai penyanyi apabila dia bukan setakat mencipta lagu, lirik dan penerbit album, malah turut bertindak selaku penyanyi utama.

"Dalam kumpulan ini semuanya saya lakukan sendiri daripada mencipta lagu sampailah kepada penerbitan album. Saya juga akan menyanyikan kesemua lagu dalam album ini di mana saya tidak ada masalah untuk menyanyi macam penyanyi lain.

"Ini kerana saya turut menyumbangkan suara saya dalam album-album Butterfingers yang terdahulu selain bertindak selaku back up vocal dalam persembahan-persembahan yang kami adakan sebelum ini," jelasnya.

Sementara itu, ketika diajukan persoalan tentang Butterfingers, Loque menafikan kumpulannya itu sudah berpecah ekoran tindakan vokalis mereka, Emmett yang berhijrah ke Kanada bersama keluarganya kerana bekerja di sana.

Malah, beliau yang meminati kumpulan rock Barat, Nine Inch Nail ini berkata, dia dan anggota-anggota Butterfingers lain masih saling berhubung satu sama lain walaupun mereka sudah agak lama tidak tampil dengan album terbaru.

"Di sini saya ingin menjelaskan bahawa Emmett ke luar negara dan dia bukannya keluar Butterfingers. Kami tidak pasti sampai bila Butterfingers akan 'berehat' tetapi kami mungkin akan membuat kejutan pada sedikit masa lagi.

"Mungkin kami akan berjumpa semula dan merakamkan album baru atau mengadakan persembahan, siapa tahu. Apa pun semua itu bergantung kepada keadaan," tambahnya lagi.

Para peminat kumpulan yang pernah mengetengahkan konsep muzik grunge ini boleh mengetahui lebih lanjut tentang Monoloque melalui laman sesawang www.monoloque.com

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan