Nuffnang
Friday, June 29, 2012
Umur 18 tahun raih pendapatan RM 30 ribu sebulan
TELUK INTAN: Biarpun baru berusia 18 tahun, seorang remaja mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM30,000 sebulan hasil daripada perniagaan menjual air kelapa.
Lebih menarik, remaja berkenaan, Mohammad Syarifuddin Abdul Aziz, turut mencipta resipi unik air kelapa perisa laici lemon yang menjadi daya tarikan utama pelanggan ke kedainya.
Syarifuddin berkata, dia mula berniaga air kelapa bersama abangnya, Mohammad Kadri, 23, sejak berusia 13 tahun sebelum perniagaannya itu menjadi semakin maju.
“Saya mampu memperoleh pendapatan sekitar RM800 hingga RM1,000 sehari. Semua ini berkat usaha saya selepas mula berjinak-jinak menjual durian seawal usia sembilan tahun lagi.
“Syukurlah kerana perniagaan ini semakin maju sejak saya ambil alih sepenuhnya. Saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi dan akan terus memajukan perniagaan ini,” katanya.
Dia yang menjalankan perniagaannya di Simpang Tiga, Jalan Baru SC Belt, Sungai Lampam, di sini, berhasrat membuka satu lagi cawangan di tanah milik keluarga mereka yang terletak tidak jauh dari gerainya kini.
Tinjauan wartawan ke gerainya semalam mendapati Syarifuddin tidak menang tangan apabila gerainya dikunjungi ramai pelanggan yang mahu menikmati minuman air kelapa sambil menikmati kuih-muih dihasilkan penduduk setempat.
Menurutnya, air kelapa laici lemon ciptaannya adalah minuman paling digemari orang ramai yang berhenti di gerainya diikuti air kelapa pandan dan minuman lain.
“Walaupun dilimpahi rezeki, namun saya tidak melupai segala nasihat ayah dan adik-beradik yang lain supaya mengekalkan sifat rendah diri dan bijak menyimpan.
“Saya juga menasihati rakan sebaya supaya tidak mempersia-siakan hidup ketika zaman remaja. Kerajaan tampil dengan pelbagai usaha bagi membantu belia yang berani menceburi bidang ini,” katanya.
Menurutnya, golongan belia tidak harus terlalu memilih kerjaya dan mesti mempunyai sikap mahu mencuba perkara positif.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment