Nuffnang

Tuesday, March 3, 2009

Butterfingers ‘berehat’ enam tahun?

Oleh ABD. AZIZ ITAR

aziz.itar@utusan.com.my

KUMPULAN Butterfingers merupakan antara kumpulan independent rock moden yang berjaya mempertahankan populariti dan kerjaya mereka yang cukup konsisten dalam persada muzik tanah air sejak ditubuhkan 16 tahun lalu.

Buktinya, Butterfingers yang dianggotai oleh Emmett selaku gitaris serta vokalis, Loque (gitaris), Kadak (bassis) dan Loco (drum) masih diminati ramai peminat di mana sehingga kini mereka telah pun menghasilkan lapan album.

Penerimaan para peminat pula misalnya, dapat dilihat apabila setiap ruang konsert kumpulan yang ditubuhkan di Kuala Lumpur (KL) pada 1993 itu tidak pernah lenggang dengan para peminat muzik rock dari dulu sehinggalah ke saat ini.

Lambang Sari, Istana Budaya (IB), KL pada pertengahan bulan lalu telah membuktikan hakikat itu apabila ia diserbu lebih 500 peminat Butterfingers ketika mereka mengadakan persembahan selama dua hari berturut-turut di pentas yang berprestij tersebut.

Bagaimanapun, itu mungkin merupakan persembahan Butterfingers yang terakhir dalam waktu terdekat ini kerana mereka mahu menumpukan perhatian terhadap haluan masing-masing termasuklah dalam bidang pelajaran.

Menurut Loque, dia sebagai contohnya akan menghabiskan pengajiannya dalam bidang muzik di Kolej Berklee, Boston, Amerika Syarikat sehingga hujung tahun ini sebelum merancang aktiviti-aktiviti terbaru bersama Butterfingers pada masa depan.

“Ini bukanlah konsert terakhir Butterfingers. Malah, kami juga belum berpecah. Kalau ada khabar angin yang mengatakan kami akan berpecah, ia tidak benar sama sekali. Ini kerana, setakat ini Butterfingers tidak pernah berpecah dan kami masih aktif bermain muzik.

“Cuma kali ini kami mungkin akan ‘berehat’ panjang sedikit iaitu sekitar enam tahun kerana sebab-sebab yang tertentu. Emmet pula misalnya, akan berhijrah ke Kanada bersama keluarganya kerana mendapat peluang pekerjaan yang lebih bagus di sana selama hampir enam tahun.

“Namun, kami akan kembali bersatu dalam tempoh waktu itu di sini dan terus merakamkan album ataupun mengadakan persembahan demi memenuhi permintaan daripada para peminat yang banyak menyokong kami selama ini,” katanya pada satu pertemuan baru-baru ini.

Sememangnya sambutan para peminat pada konsert di Lambang Sari itu agak mengejutkan kerana tanpa banyak publisiti daripada media massa ataupun iklan tetapi mereka berjaya menarik ramai peminat pada konsert yang mengenakan tiket berharga RM35 itu.

Jelas Loque, antara faktor kejayaan Butterfingers itu ialah mereka banyak menggunakan medium Internet termasuklah laman sesawang dan blog bagi menarik para penonton yang kebanyakkannya terdiri daripada peminat setia mereka sejak dari dulu lagi.

Malah, pada konsert dua hari berturut-turut itu, sebanyak dua persembahan diadakan pada setiap hari dengan menampilkan tema dan konsep yang berbeza di mana untuk menyaksikan empat persembahan itu harga tiket yang dikenakan cuma berharga RM120.

Konsert yang diterbitkan oleh syarikat mereka, Butterworld itu ternyata telah memberikan kepuasan maksimum kepada para peminat Butterfingers yang mahu membuktikan bahawa mereka masih relevan sehingga kini.

“Selepas 16 tahun terbabit dalam bidang muzik, para peminat kami tentunya dapat melihat perjalanan muzik kami yang bercabang-cabang.

“Kami ibarat sebuah sungai yang mengalir. Walaupun ada yang membawa haluan sendiri tetapi ia tidak lama dan akan bersatu juga pada satu-satu masa,” ujarnya.

Pada masa sama, pemilihan Lambang Sari sebagai lokasi konsert Butterfingers itu sedikit sebanyak mencetuskan tanda tanya di kalangan para peminat kerana selama ini ia sering diadakan di kelab-kelab ataupun pentas terbuka.

Tambah Loque, Butterfingers sepakat memilih Lambang Sari sebagai lokasi terbaru persembahan mereka itu kerana mahu bertukar angin biarpun tempat tersebut lebih sinonim dengan persembahan teater dan kebudayaan.

“Kami rasa tidak salah buat konsert di Lambang Sari. Kami pun mahu tukar angin juga. Bagi saya, Istana Budaya bukan setakat untuk persembahan kebudayaan tetapi fungsinya juga haruslah diperluaskan kepada genre muzik lain.

“Banyak pengalaman yang kami dan para peminat kami peroleh dengan mengadakan persembahan di situ. Kalau di kelab malam hanya penonton berusia 18 tahun ke atas yang dibenarkan masuk tetapi di sini tiada had umur.

“Jadi, para peminat kami yang berusia belasan tahun juga berpeluang menyaksikan persembahan kami. Secara tidak langsung ia akan mendedahkan lagi generasi muda kepada aktiviti-aktiviti di Istana Budaya pada masa depan,” katanya.

Vokalis Butterfingers, Emmett pula terkejut dengan sambutan para peminat pada konsert terbesar yang pernah mereka anjurkan itu walaupun ia mengenakan pakej harga tiket yang boleh dikatakan agak mahal pernah dikenakan oleh pemuzik independent tempatan setakat ini.

Namun, harga tiket tidak menjadi halangan buat peminat kerana ia cukup berbaloi dengan persembahan Butterfingers yang menyampaikan seleksi lagu-lagu daripada album pertama mereka berjudul 1.2 Milligrams pada 1996 sehinggalah album terbaru, Kembali (2008).

“Konsert ini seakan-akan mengimbas semula kenangan Butterfingers menerusi album-album yang pernah kami hasilkan sejak 1996 sehinggalah 2008.

“Banyak evolusi yang boleh didengari dalam lagu-lagu kami yang dipersembahkan pada konsert kami ini,” katanya.

Menerusi persembahan itu Butterfingers memperdengarkan gaya evolusi muzik mereka hasil kombinasi rock, grunge, tradisional Melayu dan pop yang begitu unik kerana ia bukti kematangan kumpulan ini di persada muzik tempatan.

Tambah Emmett, konsert itu juga seolah-olah memberi semangat dan mampu menjadi pengubat rindunya terhadap bidang muzik kerana selepas ini dia bersama isterinya, Terrina Hussein dan anak perempuannya, Isabel Ines akan menetap sementara di Kanada.

Katanya, pada waktu menetap dan bekerja di negara itu, beliau tetap akan berhubungan dengan anggota-anggota Butterfingers yang lain demi kesinambungan kerjaya muzik mereka pada masa depan.

“Saya tidak mahu melepaskan peluang bekerja di sebuah syarikat insurans di Kanada kerana tawarannya agak lumayan. Selain itu, saya juga mahu menimba pengalaman di sana. Suatu hari nanti saya akan pulang juga ke Malaysia dan akan terus bersama Butteringers,” jelasnya.

Selain Loque dan Emmett, Kadak dan Loco pula akan meneruskan kesinambungan Butterfingers dengan terus mencipta lagu-lagu terbaru mereka dan bekerja sambilan sementara menanti masa yang sesuai meneruskan aktiviti bersama kumpulan itu pada masa depan.

Bagi para peminat yang mahu menghubungi Butterfingers sila hantarkan emel menerusi kadax@butterfingers.com.my

1 comment:

Lee said...

ye, aku juga ada terbaca dalam laman sesawang itu

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan